Kehidupan umat Islam di alam ciptaan Allah ini tidak terkecuali daripada berhadapan dengan ujian dan cabaran. Allah sentiasa menguji manusia dengan pelbagai ujian, apatah lagi orang beriman dan kuat beribadat. Ujian Allah bertujuan menilai sejauh manakah tahap kesabaran manusia, sama ada mereka bersabar atau sebaliknya. Allah menjelaskan dalam al-Quran bahawa setiap manusia pasti diuji. Manusia pula perlu mengatur persediaan untuk menempuh ujian Allah, bencana atau musibah, agar tidak kehilangan punca, gelisah dan keluh kesah. Malah, manusia perlu mempunyai daya kekuatan, kegigihan dan tidak mudah berputus asa. Ini sebenarnya memperlihatkan kemampuan manusia bersabar ketika berdepan dengan masalah dan kesukaran hidup dan meyakini setiap ujian pasti ada hikmah di sebaliknya.
Dalam hubungan ini, Allah berfirman bermaksud: "Dan sesungguhnya Kami tetap akan menguji kamu agar Kami mengetahui orang yang berjuang dan bersabar daripada kalangan kamu dan agar Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita mengenai keadaan kamu." (Surah Muhammad: ayat 31)
Firman Allah lagi bermaksud: "Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman sedangkan mereka tidak diuji dengan sesuatu cubaan." (Surah Al-Ankabut: ayat 2)
Jelas, ujian Allah bertujuan mendidik manusia agar menghadapi hidup dengan takwa dan beriman kepada Allah. Nilai keimanan seseorang bergantung sejauh mana kita sanggup mengharungi pahit getir hidup dengan bersabar. Iman adalah ikatan perhubungan antara manusia dengan Allah. Ini bersesuaian dengan hakikat Islam yang membina kekuatan dalaman insan dan sentiasa pula mengiginkan kebaikan.
Sebagai manusia seharusnya kita tunduk terhadap apa jua ujian Allah dengan sabar.
Allah berfirman bermaksud: "Jika kamu bersabar dan bertakwa, sesungguhnya yang demikian itu termasuk urusan yang patut diutamakan." (Surah Ali Imran: ayat 186)
Ditinjau perjalanan hidup kalangan utusan Allah dan salihin, mereka juga tidak terkecuali daripada ujian dan kesukaran hidup sebelum mencapai kejayaan. Malah, berapa banyak di kalangan mereka yang hidup sengsara dan menderita, tetapi tetap bersabar.
Nabi Adam, Nuh dan Muhammad tidak terkecuali daripada ujian Allah dan kesukaran hidup. Nabi Muhammad sendiri bukan sekadar diuji dengan kesukaran menegakkan Islam tetapi dijanjikan kedudukan dan kemewahan dunia oleh kaum Quraisy sekiranya baginda tidak meneruskan perjuangan menyebarkan syiar Islam.
Allah berfirman melalui surah Asy-Syaffaat ayat 102 mengenai sikap kesabaran Nabi Ismail apabila bapanya Ibrahim mendapat perintah Allah supaya menyembelihnya sebagai korban kepada Allah.
Ismail dengan sabar berkata: "Wahai bapa, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insya-Allah bapa akan mendapati aku daripada orang-orang yang sabar."
Kita juga sering mendengar riwayat Bilal Rabbah, seorang hamba yang sangat penyabar. Sungguhpun diseksa dan dicaci, beliau tetap bersabar dan imannya tidak pernah berganjak. Kesabarannya mendapat ganjaran di dunia apabila dimerdekakan oleh Abu Bakar as-Siddiq dan pada akhirnya dijanjikan syurga oleh Allah.
Dalam suatu riwayat lain diceritakan kesabaran Ammar - anak Yassir dan Sumaiyah, ketika berdepan dengan seksaan kaum musyrikin Makkah. Rasulullah ketika melawat keluarga Ammar, bersabda: "Bersabarlah kamu wahai keluarga Yassir, kesabaran kamu akan dianugerahkan balasan syurga."
Begitulah kelebihan sifat sabar yang bukan sahaja menjanjikan kejayaan di dunia bahkan kenikmatan di akhirat. Justeru, kita perlu menanam sifat sabar pada diri dan ahli keluarga, di samping tidak meremehkan hal fardu kifayah seperti mendalami ilmu pengetahuan, terutama teknologi maklumat agar dapat meningkatkan kehidupan umat Islam dan menjadi umat yang tidak mudah menyerah kalah.
No comments:
Post a Comment